ADSENSE

Rabu, 22 Disember 2010

Bergedel & Salad

Bergedel atau pergedel ialah sejenis  makanan yang dibuat daripada kentang dan daging dan dijadikan sebagai lauk. Kita selalu terjumpa bergedel di dalam soto ayam, soto banjar dan beberapa jenis makanan lain. Sebenarnya bergedel tidak semestinya diperbuat daripada ubi kentang dengan daging. Emak saya pernah membuat bergedel daripada ubi keladi. Oleh kerana anak-anak saya suka makan kentang goreng, emak saya cadangkan cuba buat bergedel untuk sarapan pagi. Ia mengenyangkan, kata emak saya 7 bulan yang lalu ketika kami sama-sama menyiapkan bergedel untuk soto ayam. Oleh kerana sepanjang cuti sekolah ini saya sentiasa berada di rumah, saya cuba luangkan sedikit masa untuk menyiapkan makanan tersebut.



Saya gandingkan bergedel dengan salad campuran. Oleh kerana tujuan membuat bergedel adalah untuk sarapan jadi saya buat besar sedikit daripada bergedil yang dimakan bersama soto. Makan dua biji bergedel sudah rasa kenyang. Sayangnya anak-anak tidak menunjukkan minat untuk menjamah bergedel yang saya buat... tak apalah... yang penting saya sudah berusaha dan cuba mengekalkan makanan tradisi orang tua kita untuk generasi muda... Mari kita lihat apa bahan yang saya gunakan untuk penyediaan sarapan kami pagi ini.

Bergedel
Bahan-bahan:
600 gram ubi kentang
2 sudu besar udang kering (ditumbuk)
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
5 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 sudu kecil lada putih (ditumbuk)
1 sudu pati ikan bilis
sedikit garam
daun sup (dimayang halus)
minyak
sebiji telur

Cara:
Kupas ubi ketang. Setiap sebiji potong 4 bahagian. Tabur sedikit garam dan goreng hingga kekuningan. Lecek atau boleh tumbuk hingga halus. Masukkan dalam mangkuk besar dan gaul rata bersama bawang putih, bawang merah, lada putih, udang kering yang telah ditumbuk. Saya masukkan sedikit pati ikan bilis. Terpulang pada cita rasa masing-masing. Ada yang suka masukkan pati ayam. Ada yang masukkan garam sahaja. Jangan lupa masukkan sekali daun sup yang dimayang halus tadi. Panaskan minyak yang agak banyak supaya bergedel tenggelam semasa digoreng. Kacau sebiji telur di dalam mangkuk kecil. Celup setiap bergedel ke dalam telur sebelum menggorengnya. Apabila bergedel berubah kepada warna kekuning-kuningan emas, bolehlah angkat dan toskan.

Bahan-bahan untuk membuat salad:
1 biji mangga masak ranum
1 biji timun muda
1 biji tomato
1/2 biji lobak merah
1 cawan jagung tin
sedikit kismis merah tanpa biji
6 sudu fruit salad dressing

Cara:
Mangga, timun, tomato dan lobak saya potong dadu. Masukkan kesemua bahan bersama jagung dan kismis merah ke dalam mangkuk besar. Tuangkan fruit salad dressing dan gaul. Kalau suka sejukkan dahulu dalam peti sejuk... tapi saya tak suka makanan sejuk...saya makan begitu saja.

* nampaknya saya masih belum lulus membuat bergedel... bila saya telefon emak, dia tanya saya campur kentang dengan apa... emak ingatkan saya kenapa tidak masukkan sedikit jintan dan ketumbar... ha ha ha..

Tiada ulasan: